Monday, August 25, 2014

Bila Kita Diuji

Bersyukurlah bila Allah datangkan ujian kerana itu tandanya Allah masih bagi  peluang untuk kita bermuhasabah. Kadang-kadang tanpa sedar kita alpa dan kesenangan yang kita ada membuatkan kita makin jauh dari Khalik.

Kesenangan tidak semestinya dengan kekayaan wang ringgit harta berjuta. Kesenangan juga mungkin bila saat kita rasa cukup dengan apa yang ada, kesihatan, tempat tinggal, keluarga bahagia, kawan sekeliling yang berjiwa murni, pekerjaan yang baik, pasangan yang menarik dan banyak lagi. Kesenangan dari segi ini juga kadang-kadang membuatkan kita lupa untuk bersyukur. Solat wajib banyaknya di akhir waktu. Zikir-zikir amalan sunat bila teringat baru diusahakan ala kadar. Asalkan ada. Solat wajib pun berapa peratus sahaja yang mampu menghadirkan hati kita sebagai hamba. Bacaan Fatihah sekadar lalu dibibir.

Adakah dengan amalan sebegini kita rasa sudah layak untuk menghuni syurga yang suci? Cukupkah dengan sekadar solat 5 waktu yang belum tentu 100% dengan kehadiran hati dan puasa Ramadhan sahaja untuk kita bawa sebagai bekalan di hari pengadilan?


Bila datang ujian Allah, kualiti solat kita menjadi lain. Kita lebihkan berdoa. Bacaan Fatihah kita lebih penuh penghayatan akan erti makna setiap ayat. Solat sunat kita lebihkan. Sebelum ini jarang sekali kita bersedekah, tiba-tiba kita menjadi lebih ringan untuk bersedekah. Zikir-zikir lazim kita biarkan sentiasa membasahi bibir.....semua ini kerana hati kita gundah dengan ujian yang ditimpakan. Kita kembali kepada Khalik merayu pertolongan-Nya.

Sungguh, dengan ujian yang didatangkan ini sebenarnya sebagai peringatan atau lebih kepada sapaan Allah kepada hamba-Nya yang dikasihi agar kembali mendampingi-Nya.

Allah tak rugi apa-apa kalau kita semakin melupakan-Nya. Tapi Allah hantarkan ujian untuk memperingatkan kita agar kembali mendekat pada-Nya kerana Allah masih nak bagi kita peluang. Peluang untuk dirahmati dan diganjarkan pahala yang boleh memudahkan laluan kita ke syurga. Allah sayang kita. Ingatlah, laluan ke syurga itu bukan mudah....

0 comments:

Post a Comment

 
Papa Mama dan Baby LOVA Blogger Template by Ipietoon Blogger Template