Friday, October 7, 2011

Suami anak Emak, lupa hak isteri




Mak Limah menangis kerana terlalu rindukan anaknya, Adam. Selepas berkahwin, satu-satunya anak Mak Limah itu menunjukkan perbezaan sikap yang ketara, dia selalu lupa menelefon emaknya, apatah lagi nak menziarahi jauh panggang dari api. Isterinya, Hawwa yang cantik dan kaya telah merengggut kasih sayang anak lelaki yang cukup bermakna dalam hidup Mak Limah. 

Lain pula kisah Anita, isteri yang mencemburui emak mertua sendiri. Apakan tidaknya jika suaminyya, Aman asyik mengikut kehendak emaknya. Anak emak ini susah membahagi kasih sayang di antara dua wanita dalam hidupnya. Dari memilih calon isteri, mencari rumah, kereta, mengawal kewangan keluarga sampai memilih warna cat rumah pun mesti mengikut kehendak emak. Tak boleh jadi ni, dia kahwin dengan emaknya ke atau dengan aku? Anita pening memikirkan sikap suami yang penakut dan penurut, menyerah saja kepada kehendak emaknya. Lalu bagaimana hak aku sebagai isteri, pemegang amanah menjaga keluarga yang diiktiraf oleh Allah SWT melalui lisan Nabi-Nya SAW yang bersabda: “Seorang perempuan itu pemimpin di dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Di manakah letaknya sempadan antara ibu dan isteri?

Dalam pergaulan hidup manusia, ibulah insan yang paling utama mesti diberi layanan, hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA, seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak mendapat layanan baikku? Rasulullah SAW bersabda: Ibumu! Lelaki itu bertanya lagi: Lalu siapa lagi? Sabda Rasulullah: Ibumu. Lalu siapa lagi? Sabda Rasulullah SAW: Ibumu. Orang itu bertanya lagi: Siapa lagi? Rasulullah SAW bersabda: Ayahmu.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Masalahnya adalah ramai lelaki yang terkeliru selepas berkahwin, dilema antara ibu dan isteri. Bukankah isteri juga memiliki hak yang mesti ditunaikan? 

Ya, isteri berhak menjadi pemimpin di dalam rumahnya, tiada siapapun boleh ikut campur dalam urusan keluarganya jika ia masih berjalan di atas kebenaran. Tetapi sesiapapun boleh menegur jika isteri tersilap, mengajar jika isteri tak pandai, menuntun jika isteri sesat jalan. 

Ibu mertua berperanan sebagai pengawas dari jauh sahaja, sedangkan yang menjalankan semua peranan rumahtangga adalah isteri. Sebagai suami, semestinya memahami betul sempadan ini, supaya tidak berlaku penderhakaan kepada ibu, sekaligus ketidakadilan kepada isteri. 

Mentaati ibu juga diwajibkan hanya pada urusan-urusan antara anak dan orang tua dengan tidak melibatkan urusan keluarga si anak. Kadang-kadang suami masih dibebankan oleh urusan adik beradiknya yang bermasalah, disebabkan ibunya yang memaksa untuk membantu mana yang perlu dibantu. Kalau sampai bantuan itu melebihi daripada kemampuan suami, tentu saja isteri merasa ia tidak patut berlaku. 

Kerana setiap manusia mesti membahagi dengan adil hak-hak orang di sekelilingnya. Jangan berlebih pada satu pihak dan berkurang pada pihak lain, atau langsung tak dibagi disebabkan terlalu memberatkan sebelah pihak saja. Sikap suami yang masih bergantung penuh kepada ibunya menunjukkan dia tidak adil kepada isteri. 

Cubaan sebegini memang cukup berat dilalui, isteri mesti bersabar membimbing suami supaya boleh bersikap adil membahagi kasih sayang. Jangan pula menjadi batu api yang merosakkan perhubungan suami dengan emaknya. Dosa besar menderhaka kepada orang tua, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dosa-dosa besar itu adalah menyekutukan Allah, derhaka kepada ibu bapa, membunuh dan bersumpah palsu.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Isteri juga perlu belajar mengambil hati emak mertua, supaya suami semakin sayang dan hormat kepada keluarga isteri juga. Walaupun anda melihat kesalahan pada diri emak mertua, jangan sesekali menjatuhkan maruahnya. Walau bagaimanapun orang yang lebih tua jarang yang mahu mengakui kesilapan dan kekurangan, jadi tidak mungkin anda akan menang dalam pertarungan ini. Orang tua memiliki egonya sendiri, ini menunjukkan kelemahan akal dan perasaannya. Melainkan memang mereka memiliki kefahaman ilmu agama yang mendalam dan terjaga hatinya dari penyakit iri hati, dengki dan tamak.

Jangan pula isteri yang lebih terdedah kepada penyakit hati sebegitu, tentu amat merbahaya perhubungan yang masih dikotori dengan kebusukan hati. Apapun emak tetap insan yang berjasa, tanpanya tiadalah kita di dunia.


Aku copy from blog dr.juanda.com....untuk perkongsian bersama. Ahikss... Kena gak letak bahan ilmiah dalah blog kan. Semoga ada manfaat untuk semua.

0 comments:

Post a Comment

 
Papa Mama dan Baby LOVA Blogger Template by Ipietoon Blogger Template